Wednesday, 3 April 2013

waaaow!! Bapaku SUPERHERO ;)


Apabila membincangkan bab keibubapaan, kita selalu menekankan peranan seorang ibu. Namun jangan sesekali melupakan kepentingan peranan ayah dalam mendidik anak menjadi insan soleh dan solehah.
Memang tidak dinafikan ibulah yang bersusah-payah mengandungkan anak selama sembilan bulan, bertarung nyawa berjam-jam untuk melahirkan zuriat tersayang, menyusu dan berkorban kesakitan demi memastikan si anak sihat dan sempurna tumbesarannya.
Tetapi pengorbanan dan peranan seorang ayah dalam kehidupan seorang anak tidak harus dilupakan. Didiklah anak untuk mengasihi ayah dan menghargai pengorbanannya.
Biasanya, peranan ayah hanya dilihat dalam aspek pemberi nafkah berupa sara hidup, makan minum, tempat tinggal untuk keluarga selain sebagai insan yang bertanggungjawab membiayai pendidikan anak-anak.
Namun adakah setakat itu sahaja peranan seorang ayah? Hakikatnya ayah adalah pemangkin utama penggerak kepada pembentukan hero-hero di dalam keluarganya sendiri.
Jika ditanya kepada anak kecil tentang ayah mereka, maka inilah kebanyakan jawapan mereka ”nak kerja macam ayah”, “nak jadi macam papa”, “daddy kita paling hebat.”
Nah, ternyata anak-anak sejak dari usia kecil lagi menjadikan ayah masing-masing sebagai idola mereka. Kebanyakannya tegas memberitahu ayah merekalah yang paling hebat.
Justeru, ayah perlu membuktikan diri mereka sentiasa bekerja keras dan bersemangat menjadi individu terbaik buat anak dan isteri. Dalam Islam sendiri menegaskan peranan seorang ayah sebagai pemimpin dalam keluarga.
Prinsip kepimpinan melalui teladan harus diterapkan dalam rumah tangga kerana ia antara kaedah berkesan memastikan setiap ahli keluarga berada dalam keadaan baik. Usahlah menjadi ayah yang sering melindungi atau membela kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh si anak.
Ia hanya akan membuatkan anak semakin sukar menerima teguran dan terus melakukan kesilapan. Jika mahu isteri dan anak menjadi insan bertakwa, maka suami atau ayah itu terlebih dahulu mesti bertakwa.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Sebagai ayah, tugas mendidik anak pada zaman sekarang amat berbeza berbanding dahulu. Didiklah anak-anak anda mengikut acuan Islam agar mereka mempunyai asas agama yang kuat apabila dewasa kelak.
Para bapa moden hari ini semakin peka dan faham betapa pentingnya peranan mereka untuk turut terbabit secara langsung dalam proses menjaga dan mendidik anak-anak. Rata-rata ayah telah mula mendidik anak mentaati perintah Allah SWT sejak kecil lagi.
Oleh itu apabila besar tidak menjadi masalah besar kepada anak-anak untuk mematuhi perintah Allah dan memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang khalifah di bumi Allah. Jangan sesekali menjadikan kesibukan kerjaya sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan bersama isteri mendidik anak-anak.
Sebagai ketua keluarga atau pemimpin dalam rumah, ayah hendaklah menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Wujudkan persekitaran agama di dalam rumah agar anak terbiasa dengan suasana tersebut sejak dari kecil.
Malahan tugas tersebut sepatutnya sudah bermula sejak anak di dalam kandungan ibunya lagi. Proses pendidikan sudah patut bermula sejak dari dalam perut lagi!
Jadi, kepada bapa / abah / papa / daddy / walid /abi /abuya/baba dan lain-lain gelaran tuk SUPERHERO ni, Berusahalah untuk menjadi hero sebenar di mata anak. Biarkan anak berbangga memiliki anda sebagai hero mereka. Doakan agar mereka menjadi anak yang soleh, beriman, berilmu dan bertakwa kerana doa seorang ayah antara yang paling mustajab.

kredit : pa ma

No comments:

Post a Comment