Monday, 24 June 2013

Suami perlu bersedia ketika isteri bersalin

Dup dap dup dap rasanya jantung bila semakin dekat tarikh bersalin. Lebih-lebih lagi kalau ini pengalaman melahirkan anak pertama. Macam-macam perasaan dirasakan. Takut, risau, bimbang, kecut perut dan macam-macam lagi.
Tetapi jangan ingat yang anda seorang sahaja mengalami perasaan takut kerana suami juga sebenarnya merasakan perasaan yang sama. Mungkin si dia kelihatan macho dan tenang. Hakikatnya, sebagai bakal papa apatah lagi jika ia pertama kali, sudah tentu perasaan risau dan takut turut dirasakan.

Justeru itu, buatlah persediaan untuk menghadapi saat kecemasan apabila isteri mula menunjukkan sakit hendak bersalin. Carilah ilmu daripada mereka yang sudah berpengalaman atau membaca pelbagai panduan hadapi isteri bersalin yang ada di banyak majalah, buku dan internet.

Di harap panduan berikut sedikit sebanyak membantu mengurangkan debaran papa dan memahami peranan yang patut dilakukan dalam proses mencemaskan tersebut.

1. Faham Proses Awal Untuk Bersalin
Sebelum proses pelahiran, isteri akan mengalami sakit kontraksi (proses pembukaan pintu rahim untuk membolehkan bayi keluar). Suami perlu tahu bahawa kesakitan yang akan dialami isteri adalah berpanjangan. Emosi isteri jadi tidak stabil, mudah marah, merengus dan cerewet. Janganlah anda pula yang menjadi marah dan enggan membantunya. Ketepikan ego seketika dan cuba mengalah kepada isteri pada saat kritikal ini.

2. Bersedia Fizikal Dan Mental
Suami perlu bersedia emosi dan fizikal kerana proses bersalin boleh mengambil masa berjam lamanya malah kadang kala sehari suntuk. Bantulah menenangkan isteri anda ketika dia sedang sakit kontraksi. Memimpinnya berjalan dapat meredakan kesakitan. Berjalan dikatakan membantu mempercepat proses bersalin. Sentuhan juga sangat bermakna di saat ini. Urut atau berikan sentuhan lembut kepada isteri untuk menenangkannya.

3. Bersabar Dengan Kerenah Isteri
Sakit kontraksi yang dialami isteri adalah sakit yang paling sakit. Jadi, emosi isteri akan berubah-ubah.  Pada peringkat awal kontraksi, kesakitan baru bermula dan tidak terlalu kerap, jadi urutan dan sentuhan dapat menenangkannya. Tetapi di hujung kontraksi, apabila kesakitan semakin kerap, isteri jadi serba tidak kena dan tidak mahu sebarang sentuhan malah mungkin boleh meninggikan suara. Cuba bersabar bila berdepan saat tersebut.

4. Tenangkan Isteri Untuk Fokus
Ketika sakit bersalin berlaku, isteri asyik memikirkan perkara buruk dan menjadi hilang fokus serta semakin gementar.  Semua ini mendatangkan aura negatif yang boleh menyukarkan lagi proses bersalin. Bantu isteri bertenang dengan memberikan kata-kata semangat, bagi pasangan muslim, ajak isteri banyak mengucap, berselawat dan beristigfar. Suami juga perlu banyak membaca ayat-ayat suci Al-Quran ketika menghadapi saat genting ini.

5. Jangan Tinggalkan Isteri Sendirian
Sokongan suami amat diperlukan oleh isteri ketika berhadapan saat mencemaskan ini. Jika boleh, jangan tinggalkan isteri, sentiasa berada di sisinya. Luahan perasaan kasih sayang dan kata-kata dorongan memberikan aura positif kepada isteri untuk kuat melalui saat getir bersalin.

kredit: karangkraf

No comments:

Post a Comment