Sunday, 1 September 2013

Petua Menangani Anak Lasak



Kanak-kanak lasak biasanya sukar duduk diam dan enggan mengikut arahan ibu bapa. Kadang-kadang kita mudah melabelkan mereka sebagai nakal. Biasanya ibu bapa akan pening kepala memikir bagaimana caranya menangani anak-anak yang terlalu aktif ini. Kanak-kanak begini mungkin berada dalam kelompok kanak-kanak hiperaktif. Ia merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanak-kanak itu bersikap aktif sejak lahir, berkelakuan mengikut gerak hati, perhatian mudah berubah serta sukar mengasingkan maklumat. Mengenali kanak-kanak hiperaktif dan memahami langkah menghadapi kesukaran sepanjang mengurus mereka, akan membantu ibu bapa menyelesaikan masalah dengan baik.

1. Jangan menghukum kanak-kanak hiperaktif dengan memukul mereka. Ini kerana, kanak-kanak hiperaktif telah dilahirkan sedemikian dan mereka akan melalui fasa perubahan seperti kanak-kanak biasa.

2. Jangan sesekali melabel anak hiperaktif sebagai anak yang nakal, malas atau bodoh, kerana akhirnya mereka akan bersikap seperti apa yang kita labelkan.

3. Jangan sesekali merasa bosan. Lama-kelamaan anak anda akan dapat menguasai apa yang anda ajarkan.

4. Jika kanak-kanak hiperaktif bertindak mencederakan diri dan orang lain, segera bertindak dengan menasihati atau memarahi mereka. Jika perkara tersebut berulang, minta pandangan doktor atau pakar terapi mengenai cara menanganinya.

5.Selalu berkomunikasi dengan kanak-kanak hiperaktif. Ini kerana, komunikasi yang positif akan membuat kanak-kanak tersebut lebih kreatif.

6. Sentiasa fokus dan berwaspada dengan segala tindakan kanak-kanak hiperaktif yang mungkin boleh mencederakan diri atau orang lain.

7. Bentuk disiplin pada kanak-kanak hiperaktif suapa di masa hadapan mereka dapat mengaturkan hidup dengan baik.


Kredit: Ensaiklopedi Petua Melayu Lama

No comments:

Post a Comment